Pengalaman menjadi kunci kejayaan dalam Ideal Healthcare


Berbekalkan pengalaman selama 23 tahun dalam bidang produk perubatan di dua buah syarikat multinasional iaitu Rusch Asia Pasifik, Jerman dan Baxter Healthcare, Amerika Syarikat, Dato’ Dr Haminnuddin Abdul Hamid akhirnya mengambil keputusan untuk membuka perniagaan sendiri.

Pengalaman memegang pelbagai jawatan hingga ke peringkat pengurusan tertinggi di syarikat tersebut telah memberi pelbagai pendedahan serta input yang bermanfaat untuk beliau memulakan perniagaan.

“Pada mulanya, saya menubuhkan Mutiara Medical pada 1996 yang menjalankan perniagaan produk kesihatan.

“Waktu itu saya banyak mengimport produk dari luar negara, tetapi krisis ekonomi kira-kira setahun kemudian memberi impak yang begitu besar terhadap nilai tukaran asing sekaligus menjejaskan perniagaan.

“Syarikat saya terpaksa menanggung kerugian yang besar dan syarikat saya juga antara lebih daripada 2000 peniaga yang bankrap,” katanya.

Pada 1999, Haminnuddin memberanikan diri menubuhkan Ideal Healthcare Sdn Bhd untuk mengeluarkan produk kesihatan sendiri dengan modal sebanyak RM 300, 000.

“Untuk mengatasi krisis kewangan tersebut, saya mengambil keputusan untuk membuka syarikat baru dengan mengeluarkan produk saya sendiri dan menjualnya berbanding mengimport produk dari luar negara.

“Saya lihat bisnes produk kesihatan ni ada peningkatan dan tidak akan ‘mati’ dan bisnes macam ni sentiasa mendapat permintaan terutama dari hospital,” tambahnya.

Kilang Ideal Healthcare Sdn Bhd beroperasi di No 70 & 71 Jalan Tukang 2/1, Kawasan Perusahaan Sungai Tukang, 08000 Sungai Petani, Kedah telah menghasilkan sebanyak 45 produk.

“Jumlah produk kita hasilkan di kilang sebanyak 45 dan 35 daripadanya diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia melalui kontrak Pharmaniaga.

“Malah produk dari kilang kami dibekalkan kepada 147 buah hospital di seluruh Malaysia,” jelas usahawan yang berasal dari Kajang.

Kesusahan mengajar erti berdikari

Dibesarkan oleh datuk dan nenek yang menoreh getah telah menjadikan Haminnuddin seorang yang lebih bijak mengurus kehidupan.

“Saya dijaga oleh datuk dan nenek kerana ibu bapa saya pada ketika itu berada di Singapura dan ketika itu juga, mereka bersama 6 orang lagi adik beradik saya.

“Menjalani kehidupan di kawasan estet memberikan satu pengalaman yang berharga buat saya malah ketika itu saya menjadi lebih berdikari dan mempunyai keyakinan diri untuk mengubah nasib keluarga,” katanya.

Pengalaman dibesarkan di estet telah mempengaruhi beliau membuat keputusan tentang kerjaya beliau sehingga berjaya ke tahap yang membanggakan.

Beliau telah melanjutkan pelajaran di dalam Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dan PhD Pengurusan Perniagaan (Industri Getah dan Plastik) dari Universiti Rustington, United Kingdom.

“Ketika di United Kingdom, saya ditawarkan dalam program “apprentice” selama enam bulan dan di situlah bermulanya minat saya untuk membuat perniagaan sendiri sebelum ditawarkan jawatan sebagai Pengurus Pengeluaran di sebuah syarikat multinasional dari UK dan beroperasi di Sungai Petani.

“Syarikat tersebut menghasilkan produk perubatan berasaskan getah pakai buang khususnya tiub bantuan pernafasan pakai buang,” jelas usahawan berusia 62 tahun itu.

Pasarkan produk ke ‘overseas’

Pengeluar terkemuka bagi produk penjagaan kesihatan dalam tempoh hampir 16 tahun, Dato’ Haminnuddin kini mampu berpuas hati apabila produk Ideal Healthcare dikenali sebagai produk berkualiti tinggi, serta mampu bersaing dengan syarikat global.

“Alhamdulillah, produk kita telah menembusi pasaran negara-negara Asia dan telah telah dieksport ke sembilan negara Asia kecuali Timor Leste.

“Buat masa ini, kita telah melabur untuk kapasiti tambahan dan kita nak eksport produk kita ke Timur Tengah dan Eropah.

“Selain itu, kita akan memperkenalkan produk baru serta teknologi baru yang mana kita akan bawa teknologi dari India kerana India merupakan pembekal peubatan terbesar di dunia,” jelasnya.

Permintaan produk perubatan pakai buang terutama yang dibuat dari getah adalah cukup baik dan Haminnuddin melihat bahawa ia mampu menyediakan peluang yang besar kepada syarikatnya.

“Dengan memperoleh status piawaian Eropah (CE), kami yakin produk yang kami keluarkan mampu bersaing di pasaran antarabangsa,” tambahnya.

Tidak pandang kepada kegagalan lalu.

Kegagalan yang dialami sebelum ini sedikit pun tidak melunturkan semangat Haminnuddin untuk terus mengusahakan perniagaan produk kesihatan.

“Kegagalan saya dalam bisnes sebelum ini telah menjadi penyuntik semangat untuk saya memulakan perniagaan berkaitan industri pembuatan dan dari situ, I don’t look back and now it’s mostly 16 years.

“Dalam bisnes sudah menjadi asam garam bila kita jatuh tapi kalau kita betul minat pasti kita akan berusaha untuk membangunkan bisnes itu sehingga berjaya.

Semuanya mula dari kecil, bangun dan lama-lama pasti akan besar dan bukannya terus nak besar kerana semua itu memerlukan kesabaran dan semangat,” katanya.

Beliau juga menasihati golongan muda agar tidak mudah putus asa dalam bisnes yang diceburi.

“Kalau orang muda, dia mula dengan industri kecil dan dari keuntungan itu dia melabur dan kemudian akan jadi besar.

By the time, they become matured dan jangan takut kerana kegagalan tetap ada dalam perniagaan tapi sebenarnya kegagalan itu adalah satu pembelajaran bagi kita,” jelasnya lagi.

Translate »